Khamis, 30 April 2009
Lihatlah aku Melayu
Lihatlah aku Melayu
Kerana darah yang mengalir
Dari alir liang roma, adalah percik moyang keramat
Lihatlah aku Melayu
Dari langkah utuh perkasa
Terjampi mantera,berasap kemenyan
Adalah budaya
Lihatlah aku Melayu
Dengan tutur bahasa
Yang mulus diusap bayu membuai
Terukir senyum nan mewangi
Lihatlah aku Melayu
Dari gerak tari
Beralas sopan kebaya
Dengan tikar adat yang kukuh
Biar mati anak,jangan mati adat
Lihatlah aku Melayu
Yang gemalai mengulik inang
Mengindah malam dengan serunai
Gemersik merdu
Lihatlah kami Melayu
Lincah menghunus keris pusaka
Mengalun sketsa bangsa
Di bawah payung daulat
Ke langit menjulang martabat
Ke laut melayar bahtera kehormat.
yang ukir
N Faizal Ghazali
at
4/30/2009 04:58:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Aku juga melayu
Berbaju agama bersampin adat
Silat makananku zapin minumanku
Bahasa aku kendong budaya aku kelek
Aku juga Melayu!
Salam kunjung lagi daripada anakmelayu@keris melayu =)
Catat Ulasan