Rabu, 31 Mac 2010

Sajak diluar Bangku.




Sewaktu kau duduk dibangku pura-pura
senyum manis si dara galak.
girang
bertepuk tangan.
menyaksi pidato ringan
dan ada jamuan dihidang. Nanti.

Dibangku pura-pura.
kau lirik
segaris pandangan.
beradab
bermain mata emas dan saham
berkilauan
bercanda mencium kasino.
Mewah negeri.

kerut dahi gelisah hati tiada kau peduli.
dibangku itu
batuk raksasa melimpahi ruang
bersama kopi pahit panas
dan irama riuh.
entah melodi apa.


sesekali kau bangun menghentam kepala suara
di kerusi sana
ada sinis sokong. Bantah. Senyap.
bisik-bisik tajam hinggap di muka koran
esok pagi.Isu gejala marhaen saham berlembaran
juga sukan kejayaan. Ia senyum.


dibangku pura-pura
alasan bersih
belanjaan benar debit dan kredit
turun naik karan dan minyak. Biasa.
tiada masa yang suntuk
duduk- tenang
menunggu penggal
Untuk tukar kerusi
dan pidato ringan
ada jamuan dihidang. Nanti.



N.Faizal Ghazali/UKM

Ahad, 21 Mac 2010

Bulan yang rindukan pungguk.



Ia menunggu saban malam
merenung dibawah alam cuma
cahaya menjadi kaki
menjejak alam bumi
rindunya sampai di ranting
menyinarkan mata Si pungguk
yang setia
menikmati silau purnama
atau mengintai mangsa, mungkin

dan bulan menanti
kerana pungguk bersayap
terbang dan hinggap ke cakerawala Tuhan
nyata tidak mungkin
bulan mengharap tanpa kudrat
ah, rindu itu sakit yang indah
nikmat.


N.faizal/22032010/UKM

Ahad, 14 Mac 2010

Nostalgia yang masih belum akur.

Tawarikh itu gah
belum terpinggir
dari kotak fikir

kita bergelapan, singgah
dimimbar perkasihan
kala hujan rintik
ke daun masa dan ruang
dan akur

sekian lama
dan hujan silih berganti
aku melontar khazanah rindu
pada lonjatan nostalgia
dari umbi bahagia

sampai bila
wayang lama berpencak
pada dinding waras
dan landasan sirah

aku mahu hunjam
biar akur berkubur.


N.Faizal/14032010/UKM

Selasa, 9 Mac 2010

Cinta Suria III



Asmaraloka indah

kerana cintamu pada siang

dan bulan malam langsung

juga bintang

tanpa henti perhiasan-Nya

aku syukur dan setia

pada janji suci cahaya

agar tidak gelap dengan kesalan

Suria

cintamu bersama kejauhan

menghijaukan sempadan

dan hujan berikan aku rindumu

aku basah

subur mengenal alam

dengan murni rasa

nah, aku bisikkan!

"aku hidup kerana Tuhan

Agung mencipta, matahariku".


N.Faizal/08021010/UKM


Khamis, 4 Mac 2010

Cintamu yang tiba-tiba,


Cintamu
mengejutkan
pada setiaku yang ada

maaf
kutolak tiba-tiba.




N.faizal/UKM/2010