Kita sama-sama mengetik waktu menjadikan ia makna. mungkin besar.
barangkali kecil. kerana segalanya di hujung jari kita bisa berjanji
atau makan malam bersama tanpa bertemu di antara sebuah meja.
dan sama-sama mencatat peristiwa dan rasa. kutulis tentang "mengusir
mimpi adalah menolak rezeki". kau ketik pada dinding sosial tentang
"enak makan maggi di gerai mamak berbanding masakan isteri". dan saling bertukar 'suka'. kalian pun bersenda bicara bertukar kata-rasa. kadang-kadang hingga terlucut kemaluan
-kebas dari riwayat aib dengan ketawa kah kah kah kah atau ha ha ha ha!
Kitalah sekalian tetamu maya yang sedang ralit menjamah rahsia waktu.
Aku dan kalian adalah pengisi cerita maya lewat facebook. kita bersandar pada
jalur lebar, bercanda dengan foto dan luahan demi luahan. perasaan yang pelangi.
warna yang beragam baunya; cinta tragedi mimpi luka jiwa nestapa kemuncak girang
air mata pun bisa tumpah pelbagai rasa dengan nota bertukar nota, pesan menjadi
kawan yang akrab. kitalah itu yang disenikan oleh zaman. belajar melewatkan waktu
yang dicemburui usia.
Facebook, aku dan kalian menjadikan dunia sesak dalam talian singkat dengan fikiran
yang bermacam segi ideologi. di mana-mana. bila-bila saja.
Akulah dan kamulah yang saling menonton cerita-cerita semasa. berdansa dengan cuaca peristiwa orang lain dan menyimpul lidah sendiri. kita memaknakannya dengan bahasa apa pun.
kita mengeluh berhujah dengan papan kekunci sedia memberikan huruf-huruf perhubungan atau mematahkan sendi-sendi kemanusiaan hilang dari makna silaturrahim.
dan matilah kita. nanti. semoga bisa berfacebook lagi, di syurga!
mahu?