Selasa, 29 Disember 2009

Mencium rakaat

Rayuan nafsu bertindihan
dengan sujud khusyuk
tika ciuman rakaat
ralit

duduk bangun
mengibar takbir
takut
tunduk
adalah taqwa

pasti terhitung
dalam empat
tiga dan dua
atau berkali-kali dua
akur.
N.Faizal/UKM/29122009

Ahad, 27 Disember 2009

Pertemuan.


(Dedikasi kepada rakan-rakan Minggu Penulis Remaja 2009)

Tika senyum bersapaan

jatuh ke dinding peristiwa

arah sama dituju

seiring

kita tekun berteleku

menadah deria

mengadap guru

dan menyelongkar

rahsia ilmu

tanpa sedar

garis waktu pergi

merakam kenangan

memikul pengalaman

manis.

Khamis, 24 Disember 2009

Kita sama-sama lelah, cinta.


kulari

kau kejar

penatlah kita

tapi senyum masih

menyeri cinta.


N.Faizal/24122009/Port Dickson.

Rabu, 23 Disember 2009

Gadis dibirai kolam.

Mata kita bertemu di bayang air
diterjah riang kanak-kanak
berkecai-hilang

kudongak ke beranda mencari watakmu
cuma langsir berkibar lembut
kutenung ke dasar kolam yang kutumpahkan rindu

nyata masih ada-kenangan.







N.Faizal/21122009/Port Dickson.


Selasa, 15 Disember 2009

Larian dalam pelarian.






Hentakkan kaki menunjang muka jalan
deria mata membolos liku-likuan


bermain lelah dan sesat
tiada rasa kisah mencelah
dilorong-lorong destinasi tersinggah


dan larian tak berpenghujung
mencari ruang terakhir
bermain nafas
dalam ke dasar fikir


segala tanya muncul
mengintai arah kemungkinan
dalam larian tak pasti
gelap dalam setinggangan
sebuah pelarian.



N.Faizal/12122009/Kota Bharu.

Ahad, 6 Disember 2009

Setelah cinta bersuara


Dengan benih kata mula

dari iris mata

ironis menghiris kalbu


pijakan telapak kaki lembut rasa

terawan diulit mega langit

menelan duka


cinta bersuara

sentuhan peluit rindu

yang berombak merdu dimimbar hati


aku dengar di situ

dicelah jingga membelah sore

bisik-bisik manis sewarni pelangi


mengepung pecahan resah

ada indah membobrok

dipojok nubari

ya, setelah cinta bersuara.



N.Faizal/06122009/Kota Bharu.

Jumaat, 4 Disember 2009

Kerana aku lelaki.



Kerana aku lelaki

yang lahir dari sperma jantan

diam di lubuk rahim suci

dan lahir menyanyi tangis

dengan urat-urat kian timbul

menerjah duniawi

aku tak gental

melihat kembang bunga

kudratku tegar menyiram

makin lama menjadi lelaki

tak juga tergugah maruah

dengan cinta pun bertaruh

tenang

kerana jantanku tak terbeli

oleh wajah-wajah puspa

kecuali dengan terang hati

usah kau tanya

kenapa ranap kugondol

sebuah intim terpati

kerana aku lelaki.




N.Faizal/04122009/Kota Bharu

Rabu, 2 Disember 2009

Selagi ada masihi.


Masihi kian tua

ranum dipunggah masa
saban disember pergi

putaran kalendar setia
menyusur deretan bulan
melintasi garis-garis hari

januari bakal tampil
mengucap selamat datang lagi
membuka panas azam

yang tertunggak
mungkinkah terbayar
sedang masa tak terhambat
berganti menari cerita lain

kejarlah, selagi ada masihi
segenggam niat
kalau secubuit pun sempat
adalah jua nikmat.



N.Faizal/03122009/Kota Bharu.

hitunglah dengan nafasmu

pejamkan matamu
pahatkan lirik syukur
terus, terus dan terus

pasti kau nampak kelibat nikmat
sebesar bumi, melimpah ke langit
hitunglah dengan nafasmu

biar nafsu kaku
diterobos akal merejam alpa
bukalah ruang batin
seiring nafas, melihat anugerah
dan basahkan Alhamdulillah.


N.Faizal/02122009/Kota Bharu

Sabtu, 28 November 2009

Jangan sentuh lagi-aku.

Jangan
dengan mata sekalipun
kerana pasti terasa
tika pandangan berbicara

cukup
biar sentuhan lalu hilang
ditepis gerak masa
dan mengukir gumpalan rindu

kesimpulannya
aku mahu di sini berdiri
tanpa tersentuh ghairahmu
dengan dada tipu terserlah
tak kurela sesaat
tergolek beralas kulitmu
biar selembut tilam lagi empuk
bisa mengudis lagi
sejarah.




N.Faizal/28112009/Kota Bharu-Machang.

Rabu, 25 November 2009

Cermin sirah sehayat.


Sangkutlah kejora dengan kerlip abadi

dan tegakkan tiang biar melangit

pasti cerlang, terang iman

apa ada serpihan buntu

dari perca yang terlerai basah

untuk dicantum menjadi cermin

memapar kisah terwatak terserak

lihat, pantulan kasar pada cermin

mewajah dibalik kabur memori

jika kucam terhias menjadi sirah

langkahlah lagi, selarian denyut nadi menghela

hias, kepingan kaca setia

untuk sejasad hidup merona harum

dengan babak-babak gagah cinta-Nya

agar Rentung segala isi ranah

diinjap segar doa lagi putih dan suci

kembalilah

melirik kata-kata tuhan

lurus berjambatan hidayah

tolehlah laras-laras restu-Nya

indah.manis.abadi.




N.Faizal/25112009/Kota Bharu.

Khamis, 19 November 2009

Dipinggir sakinahMu.

Tika diam membelah rasa
kosong menerpa seri wajah
gerak mata lesu menerjah

ah, bosan menghimpit
resah gelisah bagai kawan
mengalir dengan denyut nadi
berdegup

masih belum berakhir rupanya
sebuah ruang buat insan
untuk merenung ke tasik hakiki
membasuh hitam peristiwa

Tuhan, rasa ini kepuasan
kala aku rasa dekat
rapat
berdakapan
dipinggir sakinahMu.



N.Faizal/19112009/Kota Bharu.

Sabtu, 14 November 2009

Sekeping surat kepada cinta.



Cinta
aku cuma pemuda yang bisa kauterkam
ranumlah mendakap hatiku semahu-mahu
dengan lidah lancar bicara kudus kasih
biar bergugus-gugus jatuh ke riba
dikecap perdu-perdu jantung yang kian kencang


ya cinta
aku mahu hisap segenap ruang manismu
dan menelan sepah hingga keperhabisan
agar urat nadi tegang menahan panahan rindu
tak sesekali kulempar senyum tawar
menghiasi bibit-bibit merahmu


nah cinta
kuhulur seyakin mabuk hati menyembah
pada kaki-kaki harapan kau buka
aku tak jeda atau undur setapak pun
mengembaralah lapangan rindu tak terhitung
dan kayuhlah asmara panasmu


sekian cinta.

N.Faizal/141212009/Kota Bharu

Khamis, 12 November 2009

Lembaran semesta.

Lewat musim ini kuakhiri

bersama tengkujuh tiba di timur-utara

kuhunus akal menduga

cuba upaya


berakhir untuk lewat semesta ini

dengan menanti debaran mendatang

sejuta mungkin menerjah

kutadah jua kepastian


ya, sekurangnya aku puas

menikmati gugusan masa

bermadu rasa aneka warna

corak-carik-suka-duka-lara


ah, puas!

moga kita ketemu lagi, semesta

menyosongku, ke puncak gading menara.


N.Faizal/12112009/UKM.

Rabu, 11 November 2009

Bila gelisah menyengat larut malam.


Malam larut

hujan mampir

kamar setia nanti


ada rasa singgah

dipojok jiwa lara

kantor fikir tepu


biarlah begitu

aku mahu mimpi dulu

menunggu mega jingga

moga hilang tunggul gelisah


ah!



N.Faizal/11112009/UKM

Ahad, 8 November 2009

..dan bila..


Bila kita akan ketemu lagi

lewat musim pesta pergi

membawa hati yang menari


bila pula bayangmu bisa kudakap

setelah hatiku kau bawa sama

ke daerah rindu kencana


bila mata akan menyapa lagi

usai hari berganti purnama

gering menemani saraf-saraf rasa


ah, sakit bermotif indah terhadam

tak kuasa kulerai dengan potret cuma

kerana kepingin harum setubuhmu


dan bila dapat kurangkul sehayatmu

dengan jemari kasar cinta kuhampar

atau cuma aku berkhayalan, keseorang


dan bila…



N.Faizal/08112009/UKM



Jumaat, 6 November 2009

Kulempar jiwa kacau jauh.


Ketika rasa lompang singgah

menggigit jiwa mengusik fikir

hati kalut resah meraba punca


bungkam bagai


derap longlai menari songsang

dibisik haru irama

jiwa kacau ditembak kesah


jeda hinggap


aduh sakinah kujemput hadirmu

membibit buih-buih iman

dalam petala riwayat singkat


terang bangkit


sinar pijar hilang berganti

nur singgah berkasih sayang

membaja cinta tuhan


lari gelisah


dirotan wangi kalam tertulis

kulempar jiwa kacau jauh

mampir bersalut bongkah imani.


Indah menyanyi.

N.Faizal/06112009/UKM.

Rabu, 4 November 2009

Gugur.


Gugurnya daun
patuh pada ketentuan
tanah diam terima

cacing bumi girang
merobek rakus
mengecap kering rasa

masih ada guna
bukan sekadar sampah
disaluti debu singgah

ah, sekurangnya aku fikir tentangnya!


N.Faizal/04112009/UKM

Isnin, 2 November 2009

Aku dan puisi.


Usah kau Tanya

sajak apa nanti kutulis

dengan ajaib bahasa

pasti melantun makna


jangan dihairan

jika dedaun kering

kugarap jadi karangan

gugur berupa hiasan


jangan kau pelik

andai alun serunai

kugubah iramanya

menjadi rima berangkap


tatap ertilah

kalau sebaris tertulis

atau sepatah pun

adalah aku dan puisi.



N.Faizal/02112009/UKM

Khamis, 29 Oktober 2009

Jedanya gerak songsang.

Angin bernafas terus di garis masa
ada gerak-gerak songsang bertingkah
kita khilaf pada langkah, tewas
antara sedar fikir waras iman tercabar

parah rasa membuak tersengat dada
dinding peristiwa kian berlabuh
ada masa membawa mutiara bercahaya
tika kita tersangkut pasrah, rebah

sebenarnya kita kian hampir
menyalut hikmah terhidang nanti
dalam alpa menewaskan sabar terpesong
yang menikam tenang sutera jiwa

lalu sedar kala cerita kemuncak
dengan sesal beralas hitam pengalaman
hisaplah melodi perlahan itu
dengan sejuk derap yang marak semangat

dan suluhkan malap biar benderang
segala habuk disapu suci terhias
jua untuk kita jeda dan tunduk
untuk Yang Maha dari segala maha.



N.Faizal/29102009/UKM

Isnin, 26 Oktober 2009

Opera cinta tak langsung.


Bila aku bangun tegak berdiri

ada mata melihat asyik

aku jeda melawan debaran nafas

sesak dengan citarasa masyuk


apakah cinta yang mengalir

pada pembuluh darah gemuruh

saat kita melirik dan senyum saling

muka pun berserikan debu-debu berahi


kalau itu cuma aku berperasaan

atau terpukau dek nafsu buta cemburu

aku izinkan cuitan kasih kita mesra

bertautan direnjis waktu-waktu perantara


jika dilepasi hati terbang

bayang-bayang diburu bercantuman

jiwa pasti riang melukis arakan sayang

biar tompok-tompoknya seiring mentari


aduh, kalbu mengcengkam kisah lagi

yang diopera tanpa skrip langsung

ada gurau melintasi tari lakon

oleh watak kita rakam sendirian


maka tidak perlu ada lagi curiga

setelah tamat tirai riwayat terkisah

dalam opera cinta tak langsung tersengaja

bila aku bangun tegak berdiri.




N.Faizal/26102009/UKM

Khamis, 22 Oktober 2009

Menanti Kronologi




N.Faizal/20102009/UKM

Isnin, 19 Oktober 2009

Sajak kasar kepada tuan-tuan.


I

Hoi tuan!
maaf aku sengaja
jerkah telinga hatimu

setelah kau bagi api
untuk aku marak nyala
kau besar kuasa
aku kecil hati

II

hoi tuan!
maaf aku berkasar
kerana kuasa, anda propaganda
aku hilang modal
kalian menjilat untung cuma

III

hoi tuan!
ampun aku menegur
jangan omong saja
atau bertitah kosong
usah peram janji
nanti kalian juga melopong.


N.Faizal/19102009/UKM

Sabtu, 17 Oktober 2009

Kau berdendangan kata.





Kata-katamu

kutelan ke atma hati

fakulti fikir membilas


perdu-perdu maksud

terhadam dek rasa

bungkam seketika


aduh, riwayat apa

kau lukis garis derita

sedang aku kaku


cukuplah, berdendangan

lelah aku menari rentakmu

Sesat berduri luka jiwa

merantai parut dipojok sanubari

izinkan kubernafas sendiri.


N.Faizal/10102009/UKM


Hilang



Malam suram
aku datang dengan sebutir bintang
kau pula hilang

persis bayang-bayang
sembunyi diam
aku tahu kau bukan malu atau bisu

sebenarnya aku kehilangan.


N.Faizal/17102009

Khamis, 15 Oktober 2009

Mencari bunga indah.

Aku mencari bunga sekuntum di taman dunia
untuk diwangikan kelopak
dan hijaukan dedaun kasih berteman mekar
dalam subur perkebunan nurani

biar aku petik bunga indah di taman sunyi pun
akan kuhias dengan rerama menari ria
dengan irama lagu tuhan mengutip sakinah
akan aku asyik mengikut rentak

jua kukucup mekar bunga itu nanti
tanpa secalit cela menghiris kelopak
dari akar pun kusiram baja setia
pasti kumbang tunduk mengalah, malu

ayuhai bunga indah terharum
sabarlah menanti kunjung-petikku
kalau duri mencabar kusenyum
dan bersiul membius luka.




N.Faizal/15102009/UKM

Rabu, 14 Oktober 2009

Tentang semalam

Semalam ada cerita terlukis

ada rasa mengusik

pada pemidang hati


lalu memori menyimpan

kenangan dan bayang-bayang

kadang hilang diam


melakar corak warni

dipojok hari saban waktu

mengharap indah lagi nanti.



N.Faizal/14102009/UKM

Isnin, 12 Oktober 2009

Teratak puisi












Bertiang bahasa
bumbungnya kata-kata
dihuni makna

singgahlah
tidurlah
mendakap kamar falsafah

biar pawana bolos
harumkan bait indah
menghias halaman.







N.Faizal/12102009/UKM

Ahad, 11 Oktober 2009

Ya tuan, akulah si dara politik.



Ya tuan

akulah si dara politik

belum dijentik wangi manisfeto

darahku masih manis, bergetah muda

dan sudah baligh memangkah

kepalsuan atau kebenaran


jangan tuan

aku dibunuh-lapah

oleh mata-mata nista

yang dahaga daraku


seeloknya aku jadi si dara tua

andai persona kacak parti ada muslihat

aku mahu diam Cuma

atau juga mengkadikan pangkah

dengan mencalar rosak pada kertas harapan


benar tuan

akulah si dara politik

belum dijentik harum janji

hisaplah darahku, kalau kau bisa

atau nanti aku juga yang menang.


N.Faizal/10102009/UKM