Jumaat, 30 September 2011

Pindah

ke http://kakipuisi.blogspot.com


terima kasih dan harap maklum.

Sabtu, 20 Ogos 2011

Petang

Petang tanpa kata
menyusup perlahan
celahan pintu waktu.

Sebuah senja
tak pernah sama.

Selasa, 16 Ogos 2011

Pagi sekali sajak masuk menjadi temanku
















Pagi ini, pagi sekali
sajak masuk menjadi
temanku bagai melengkapkan
kesucian subuh
bulan puasa yang dirahmati

Jernih.

Terus aku membaca ia
dan cuba kufahami
huruf-huruf
menikam dada.

Semoga ia
merebahkan
dosa-dosaku
di syurga-dan akan kutidurinya.


Isnin, 27 Jun 2011

Jendela dan Ketakutan

kadang kala aku takut
untuk menutup jendela malam
risau kenangan hilang
atau tersepit di engsel
kerana angin tak bisa lolos
menyampaikan sejarah
dalam mimpi pun kabur kebenaran.

kadang kala aku takut
untuk membuka jendela siang
bimbang kenangan ada tersepit
di celah engsel dan lolos
menerpa aku dengan rasa pahit
yang tak mampu kujamah
dalam mimpi pun.

kulangkah jua setelah terkuak
jendela memberikan jawapan
ketika aku mahu ke hadapan.

Sabtu, 11 Jun 2011

Revolusi Terakhir

Tikam kata-katamu di mataku
biar aku buta.

Potong lidahku dengan bahasamu
biar aku bisu. diam.

kerana kau tak bisa jua
menjadi manusia maha sempurna.
atau bunuh saja aku
dengan revolusi terakhir
anggota yang tak pernah puas
kau pincu sendiri nanti. kemahuan.


Khamis, 9 Jun 2011

Kusajak facebook kupuisikan kepada teman




Kita sama-sama mengetik waktu menjadikan ia makna. mungkin besar.
barangkali kecil. kerana segalanya di hujung jari kita bisa berjanji
atau makan malam bersama tanpa bertemu di antara sebuah meja.
dan sama-sama mencatat peristiwa dan rasa. kutulis tentang "mengusir
mimpi adalah menolak rezeki". kau ketik pada dinding sosial tentang
"enak makan maggi di gerai mamak berbanding masakan isteri". dan saling bertukar 'suka'. kalian pun bersenda bicara bertukar kata-rasa. kadang-kadang hingga terlucut kemaluan
-kebas dari riwayat aib dengan ketawa kah kah kah kah atau ha ha ha ha!

Kitalah sekalian tetamu maya yang sedang ralit menjamah rahsia waktu.

Aku dan kalian adalah pengisi cerita maya lewat facebook. kita bersandar pada
jalur lebar, bercanda dengan foto dan luahan demi luahan. perasaan yang pelangi.
warna yang beragam baunya; cinta tragedi mimpi luka jiwa nestapa kemuncak girang
air mata pun bisa tumpah pelbagai rasa dengan nota bertukar nota, pesan menjadi
kawan yang akrab. kitalah itu yang disenikan oleh zaman. belajar melewatkan waktu
yang dicemburui usia.

Facebook, aku dan kalian menjadikan dunia sesak dalam talian singkat dengan fikiran
yang bermacam segi ideologi. di mana-mana. bila-bila saja.

Akulah dan kamulah yang saling menonton cerita-cerita semasa. berdansa dengan cuaca peristiwa orang lain dan menyimpul lidah sendiri. kita memaknakannya dengan bahasa apa pun.
kita mengeluh berhujah dengan papan kekunci sedia memberikan huruf-huruf perhubungan atau mematahkan sendi-sendi kemanusiaan hilang dari makna silaturrahim.

dan matilah kita. nanti. semoga bisa berfacebook lagi, di syurga!
mahu?

Isnin, 6 Jun 2011

Seorang seniman dan sebotol bir halal

Seorang seniman terangguk-angguk
ketika ia membaca sajak tanpa
khalayak dan memegang sebotol bir
barangkali berperisa anggur
dibacanya baris demi baris puisi
diminumnya seteguk demi seteguk bir
habis tak berbaki sepatah sajak
tak bersisa setitik bir
yang ada hanya seorang wanita.

Di atas pentas tanpa khalayak
seorang seniman diam melihat ruang
tanpa sajak lagi menemani bir yang kering
ia pun melempar sebuah puisi yang habis
dipecahkan sebotol bir yang kering
ketika acaranya belum berakhir
tanpa khalayak tanpa tepuk tangan
yang ada seorang wanita.

Berkacalah sebotol bir berderai
pecah bersama sajak yang diluah
tanpa khalayak dan seorang wanita pun
pergi dari fikirannya, hilang
tanpa talak-tak mahu dikenang lagi.

Selasa, 31 Mei 2011

Sajak tanpa berahi kepada mei

Kubuka serpih rekahan
yang kau hidang
dalam renyai hujan
basah menjadi pedoman
untuk mengenal dingin
suhu menjadikan rasa
lelah berwajah harapan
tanpa dikunjung
perasaan berat yang maha.

Kubuka tangan sendiri
tanpa berahi
kurangkul jiwa
kau tak pernah sampai
di penghujung jawapan
hujan waktu
berlagu tanpa isyarat
mendung.

Serpih rekahan rasa
pun menjadi mimpi
hujan dan mendung
menjadi suhu rahsia
tangan yang kuterima
segala jawapan diam
tak kuhitung lagi.

Ahad, 17 April 2011

Sayap Malam




Cicak-cicak memanjangkan lidah
menjerat kelkatu riang
sesudah hujan
ia mencuri cahayaku

dan tuhan menjelma menghantuk
fikir dengan zat-Nya
malam pun bersayap kebesaran.

Rabu, 30 Mac 2011

Jambatan Malam



Senja memanjat hari
perlahan menyembunyikan matahari.
burung-burung seperti bersenam
melambai sanyapnya
kita pun membaca waktu
menjadikan ia jambatan
kepada matahari yang tak pernah
puas dan jemu senyumkan senja.

dan senja seperti mengeluh
semakin pergi kita tahu sendiri
maknanya kepada malam.

dan bulan tak akan kecewa.


30/03/2011
(Kredit gambar: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhxrzJn8DGA7OEpXaTXWmqayeuFmC2FKDXePx4b1ILlVSPGJM98uHtOg14aw6OGoZyMreBLQSzXL68AKBSMzzVcfihxV8x5sNsOo-J-uOG_rVeYEguUbto5PopRecjmUyoUPow_2Qg/s1600/tetamu+senja.jpg)

Khamis, 10 Mac 2011

Malam yang basah itu aku terserempak cinta menari di sepertiga malam.

Guruh berdentung berderai si air hujan
basah tanah dingin ke akar rumput
perasaan hijau mendakap cintaku
merayu dalam tarian sepertiga malam
malam-malam untukmu-aku berhenti
dan mendengar melodi angin menyampaikan
pesan-pesan rahsia

Ada wajah disambar kilat dilarikan rasa
aku pun turut menari dan basah
dan wajah itu hilang menjadi rindu
rindu-rindu untukmu-aku jeda
daripada mimpi bangkit menyelimut jasad
bukan lagi rahsia sepertiga malam
nafas pun turut menjadi doa

gugurlah wahai cinta dari langit
biar kurampas segenap gerak tarinya
menjadikan alas yang paling rahmat
tanpa guruh kuizinkan malam terus basah
merenjis kudus waktu dan pengharapan
waktu-waktu untukmu.

Sabtu, 12 Februari 2011

Dua rangkap sajak untuk Hosni-Murabak.


tuan tak pernah dituntut
mengelar leher sendiri
kerana mereka yang ramai
di jalanan mengirim erti
untuk difahami bahasa keldai
yang tuan bicarakan.

sudah terlalu lama
mereka terzalim dengan senyap
tuan tak pernah dipatahkan kaki
untuk melangkah pergi
meninggalkan mereka yang berbaris
sebelum keranda semakin dikenderaankan
atau tuan sendiri akan lumpuh
disimbah kelu diludah malu
seperti hari ini
dan dunia sudah tahu makna yang rahsia
pasir dan unta pun berdoa barangkali.


Bangi/2011

Khamis, 10 Februari 2011

Sajak kepada gadis berambut panjang.

Ke mari
biar kusanggul rambutmu
menjadikan gelombang
dalam sajak-sajak perkasihan
biar hujung rimanya dicemburui
angin yang membelai

Ayuh rentangkan rambutmu
di dadaku yang mekar
dengan aksara cinta
dan kudandan menjadikan ia
baris-baris puitis
dan rindu berkali-kali

atau nanti kutoncangkan saja ia
dan belai di kiri kanan
telapak tangan ngilu sendirinya
kerana rambutmu kugarap lembut
menjadikan pagar cinta
melingkari taman perkasihan.

Bangi/2011

Isnin, 24 Januari 2011

Muzik Cinta



Ada muzik cinta kudengar dari luar
rumahmu. irama dari hati yang kuketuk
pintunya semalam. engkaukah? yang sedang
menyanyi dengan suara merdu mengusir
bau hujan dan bulan makin terang mewajahkan
bunga awan di langit hatiku.

aku terpesona seperti mahu menerkam
dan membawa lagu cintamu ke menara syurga
mimpiku yang tak pernah habis.

aku melangkah dengan perjalanan mendung
terus dan makin jauh. Tanpa salam kuduga
pintu hatimu berpaling dari muzik asyik
melodi kau alunkan dengan sepi tanpa mimpi.

dan aku harus pergi saat muzik cinta
masih beralun. dari luar rumahmu hujan
sudah mencium debu-debu di hujung rumput.
bulan ghaib dan bunga awan hancur
dilangit hatiku yang remuk.

21012011
Bangi

Selasa, 4 Januari 2011

Sajak cinta di tahun baru 2011

Masih seperti biasa cinta
membawa riak-riak rindu berselerak
seperti bias matahari. Januari menghantar
masihi ke usia dunia semakin tua.

kutuliskan sajak ini dengan kesementaraan
yang berbaki sedikit demi sedikit sejarah
terhimpun
terkenang
termimpi-mimpi

segala cinta semakin tua
tak perlu lagi rapuh mengenal
makna-makna hidup yang luas
ertinya
waktunya
keadaannya
matinya.