Isnin, 24 Januari 2011

Muzik Cinta



Ada muzik cinta kudengar dari luar
rumahmu. irama dari hati yang kuketuk
pintunya semalam. engkaukah? yang sedang
menyanyi dengan suara merdu mengusir
bau hujan dan bulan makin terang mewajahkan
bunga awan di langit hatiku.

aku terpesona seperti mahu menerkam
dan membawa lagu cintamu ke menara syurga
mimpiku yang tak pernah habis.

aku melangkah dengan perjalanan mendung
terus dan makin jauh. Tanpa salam kuduga
pintu hatimu berpaling dari muzik asyik
melodi kau alunkan dengan sepi tanpa mimpi.

dan aku harus pergi saat muzik cinta
masih beralun. dari luar rumahmu hujan
sudah mencium debu-debu di hujung rumput.
bulan ghaib dan bunga awan hancur
dilangit hatiku yang remuk.

21012011
Bangi

Tiada ulasan: