Siapakah dia yang sibuk menyusun kata menghurai segala makna sedang diri masih mencari erti buat menyeberangi jejambat hidup
siapakah dia kalut menghujah sahaja mengata betul apa yang dikata biar pun diri masih leka meraja untuk mengenal erti dewasa
siapakah dia kian ribut berbicara seolah tahu semuanya walau langkah masih menyusur kaku kesamaran arah..!
siapakah dia yang teruja menutur membawa makna kian lara menjerat diri dalam perangkap sendiri dungu kurasa dia.
Ah! sungguh kalut dia menghujah persoalan tiada beda maknanya dengan setiap aksara dan bait erti terkadang tidak tahu sebenarnya hanya mengungkap sesedap rasa untuk menyenang halwa telinganya menjernih benak yang kusut fikiran antara sedar yang tak sedar dia mula memijak maruah sendiri lari dari kejaran bayang diri sedarlah! betul kata teman-teman kau teruja dengan leka bermain dengan bodoh sendiri.
Tuhan, telah kau letakkan sumur Barakah kau zahirkan pada mukjizat Agung dan diperkhabarkan seisi alam tentangnya kebaikkan menjangkau seribu bulan mengalir dalam rahmat ramadhan
izinkan aku mengaut sabar dan tekad, Rabbi menjamah sepertiga malam sepuluh akhir meneroka janji kudus-Mu, biar kupegang dan kurapatkan ke lembah hati nyanyian zikri sujud sedaif hamba basah dengan dosa
Tuhan, kuingin mengucup Lailatul Qadar bersama rukuknya rendang pepohon biar akar nafsu ditelunjuk waras akal biar seputih kapas sang hati, seteguh gunung mampukah aku, mendakap malam murni
Lailatul Qadar, ghaib hadirmu pasti membawa wangi kasturi Firdausi bukan sebuah fantasi persis mimpi walau seribu retaknya si bulan doa kuiring berdampingan, meraut wajahmu
Ya Rabb, aku perdengarkan puisi menanti harap adalah doa penyair leka, murah berkata-kata agar bisa pula kukunyah rangup Al-qadar tika purnama ralit di muka langit embun merembes bersama si air mata biar kutangkap ruang hati menghadap kuala Rahmat-Mu dan menadah sekantung tawakal, hanya pada-Mu.