Khamis, 29 Oktober 2009

Jedanya gerak songsang.

Angin bernafas terus di garis masa
ada gerak-gerak songsang bertingkah
kita khilaf pada langkah, tewas
antara sedar fikir waras iman tercabar

parah rasa membuak tersengat dada
dinding peristiwa kian berlabuh
ada masa membawa mutiara bercahaya
tika kita tersangkut pasrah, rebah

sebenarnya kita kian hampir
menyalut hikmah terhidang nanti
dalam alpa menewaskan sabar terpesong
yang menikam tenang sutera jiwa

lalu sedar kala cerita kemuncak
dengan sesal beralas hitam pengalaman
hisaplah melodi perlahan itu
dengan sejuk derap yang marak semangat

dan suluhkan malap biar benderang
segala habuk disapu suci terhias
jua untuk kita jeda dan tunduk
untuk Yang Maha dari segala maha.



N.Faizal/29102009/UKM

Isnin, 26 Oktober 2009

Opera cinta tak langsung.


Bila aku bangun tegak berdiri

ada mata melihat asyik

aku jeda melawan debaran nafas

sesak dengan citarasa masyuk


apakah cinta yang mengalir

pada pembuluh darah gemuruh

saat kita melirik dan senyum saling

muka pun berserikan debu-debu berahi


kalau itu cuma aku berperasaan

atau terpukau dek nafsu buta cemburu

aku izinkan cuitan kasih kita mesra

bertautan direnjis waktu-waktu perantara


jika dilepasi hati terbang

bayang-bayang diburu bercantuman

jiwa pasti riang melukis arakan sayang

biar tompok-tompoknya seiring mentari


aduh, kalbu mengcengkam kisah lagi

yang diopera tanpa skrip langsung

ada gurau melintasi tari lakon

oleh watak kita rakam sendirian


maka tidak perlu ada lagi curiga

setelah tamat tirai riwayat terkisah

dalam opera cinta tak langsung tersengaja

bila aku bangun tegak berdiri.




N.Faizal/26102009/UKM

Khamis, 22 Oktober 2009

Menanti Kronologi




N.Faizal/20102009/UKM

Isnin, 19 Oktober 2009

Sajak kasar kepada tuan-tuan.


I

Hoi tuan!
maaf aku sengaja
jerkah telinga hatimu

setelah kau bagi api
untuk aku marak nyala
kau besar kuasa
aku kecil hati

II

hoi tuan!
maaf aku berkasar
kerana kuasa, anda propaganda
aku hilang modal
kalian menjilat untung cuma

III

hoi tuan!
ampun aku menegur
jangan omong saja
atau bertitah kosong
usah peram janji
nanti kalian juga melopong.


N.Faizal/19102009/UKM

Sabtu, 17 Oktober 2009

Kau berdendangan kata.





Kata-katamu

kutelan ke atma hati

fakulti fikir membilas


perdu-perdu maksud

terhadam dek rasa

bungkam seketika


aduh, riwayat apa

kau lukis garis derita

sedang aku kaku


cukuplah, berdendangan

lelah aku menari rentakmu

Sesat berduri luka jiwa

merantai parut dipojok sanubari

izinkan kubernafas sendiri.


N.Faizal/10102009/UKM


Hilang



Malam suram
aku datang dengan sebutir bintang
kau pula hilang

persis bayang-bayang
sembunyi diam
aku tahu kau bukan malu atau bisu

sebenarnya aku kehilangan.


N.Faizal/17102009

Khamis, 15 Oktober 2009

Mencari bunga indah.

Aku mencari bunga sekuntum di taman dunia
untuk diwangikan kelopak
dan hijaukan dedaun kasih berteman mekar
dalam subur perkebunan nurani

biar aku petik bunga indah di taman sunyi pun
akan kuhias dengan rerama menari ria
dengan irama lagu tuhan mengutip sakinah
akan aku asyik mengikut rentak

jua kukucup mekar bunga itu nanti
tanpa secalit cela menghiris kelopak
dari akar pun kusiram baja setia
pasti kumbang tunduk mengalah, malu

ayuhai bunga indah terharum
sabarlah menanti kunjung-petikku
kalau duri mencabar kusenyum
dan bersiul membius luka.




N.Faizal/15102009/UKM

Rabu, 14 Oktober 2009

Tentang semalam

Semalam ada cerita terlukis

ada rasa mengusik

pada pemidang hati


lalu memori menyimpan

kenangan dan bayang-bayang

kadang hilang diam


melakar corak warni

dipojok hari saban waktu

mengharap indah lagi nanti.



N.Faizal/14102009/UKM

Isnin, 12 Oktober 2009

Teratak puisi












Bertiang bahasa
bumbungnya kata-kata
dihuni makna

singgahlah
tidurlah
mendakap kamar falsafah

biar pawana bolos
harumkan bait indah
menghias halaman.







N.Faizal/12102009/UKM

Ahad, 11 Oktober 2009

Ya tuan, akulah si dara politik.



Ya tuan

akulah si dara politik

belum dijentik wangi manisfeto

darahku masih manis, bergetah muda

dan sudah baligh memangkah

kepalsuan atau kebenaran


jangan tuan

aku dibunuh-lapah

oleh mata-mata nista

yang dahaga daraku


seeloknya aku jadi si dara tua

andai persona kacak parti ada muslihat

aku mahu diam Cuma

atau juga mengkadikan pangkah

dengan mencalar rosak pada kertas harapan


benar tuan

akulah si dara politik

belum dijentik harum janji

hisaplah darahku, kalau kau bisa

atau nanti aku juga yang menang.


N.Faizal/10102009/UKM


Sabtu, 10 Oktober 2009

Cinta Suria.





Bulan masih bertenaga pancaranmu
berkelipnya bintang menyentuh hatiku
lalu aku mengata cinta pada siang
kerana kau ada sekujur wajah, terang

kau suria bercahaya
juga melukis pelangi seusai hujan
lalu aku sendiri rindu pada warna-warna
terbias pada celahan sinarmu

kau berkasih sayang suria
aku nampak cinta kau tiup
pada hijau rerumput dan jelapang
hatiku turut subur meraut kasihmu

tapi, harus kau tahu
aku juga perlukan angin, tanah dan api
buat aku terasa dibelai mulus
untuk aku menapak gagah
bagi aku marak dengan semangat.




N.Faizal/10102009/UKM


Jumaat, 9 Oktober 2009

Bila aku dibicara tentang cinta seorang gadis.



Maaf,
aku tidak mahu menjual air mata
kerana cinta
juga menempah sakit
sebab rindu
dan sekadar meneguk tenang cuma kumahu

biarlah cintaku
seperti lembut angin
yang memberi jasa
untuk burung bebas
dan takkan kuhampar
rindu percuma
senang bukan cinta kumahu?





N.Faizal/09102009/UKM

Khamis, 8 Oktober 2009

Siang, malam, bulan, bintang.


Duhai malam

sinar bintang indah

menabur tenang kalbu

aku mahu lena diatasmu

mendakap bulan bisu dan mimpi

setelah dipersilakan pergi siang.


N.Faizal/08102009/UKM






Mengintai dari kamar simpati. ( khas buat mangsa-mangsa gempa bumi di Padang semoga tabah dengan Ujian Allah S.W.T



Pawana membisik rayu simpatiku

lalu fikir ke daerah gersang ranap

yang terpercik nyanyian bumi tuhan lagukan

Padang terjoget mengikut rentak

tragis mengirama

aduhai sepadang manusiawi

jangan angkuh memunggah karma dunia

intailah langit rendah tingginya

dan sabar angin jua berbatas melihat durja

menggelegak amarah lahar bumi

lalu aku menerawan ke Padang

melihat air mata, mentafsir makna.



N.faizal/06102009/UKM


Sabtu, 3 Oktober 2009

Meranum bahasa antara alis mata beda.


Ucaplah olehmu dalam bahasa kita
satu Malaysia dihampar utama
bukan aku tapi kita dan semua
yang aneka alis mata

katakanlah bahasa kita adalah cinta
ranum dibibir
dari keopak darah lain biar sama, satu
mekar kemas serunpum bangsa, Malaysia

tintalah bahasa cinta
oleh kalian dan sekalian
marhaen yang disatukan
untuk digapai keutamaan

dan kita rangupi manis bahasa
dengan lidah warni budaya
berlagu tekad erat berpadu
biar gemanya ke pojok jagat raya terngiang

ayuh kita ranumkan bahasa pertiwi
tegakkan tiang jati diri, bangsa beridentiti
dan lakarkan disegenap diari dunia
biar indah bugar selamanya.


N.Faizal/02102009/UKM