Ahad, 26 September 2010

Cinta Suria V



Kerana kau terlalu jujur
matahariku
kepada hujan dihatiku yang berbau
ketidakpastian
merintik-rintik hingga becak
kepercayaan yang wujud
disela-sela cahaya
-penuh dan pasti.

Sinar kejujuranmu
suria
genap dan sampai
dan aku sedar akan bayangan diri
kadang-kala dipalsukan
oleh monolog zalim
si pecemburu buta
antara kita, cinta dan alam
-ganjil dan ragu.

Cahayamu suria
indah dalam kepanasan
dan tidak kidal
mengizinkan dingin malam
mengalasi tidurku
sebenarnya kita saling
berpelukan tanpa selimut was-was
-ajaib dan rahmat.

Kerana kau terlalu jujur
matahariku
aku ingin berenang
ke hujung silau cahaya lautan kasih
mencari mutiara sakinah
-cinta Tuhan dan alam.

Selasa, 7 September 2010

Aku dan syawal




dan berpusu-pusulah orang
menyusur kemenangan
yang
semakin tertinggal oleh
ramadan

pelita terang
menanti hari lebaran
dan orang tersayang
senyum
semanis syawal
menunggu dakap erat
tangan berjabat

antara aku dan syawal
adalah kebahagiaan
tepat dari Tuhan
tanpa titik perpuluhan.