Isnin, 15 November 2010

Korban

Adalah cinta suci
beralas ikhlas
atas nama surga
untuk Tuhan

Ya, semoga
sampai buat Tuhan.

Ahad, 7 November 2010

Sajak kepada kau yang bertopeng anjing



Berpalinglah dari wajahku
sekian lama kau terjelir dan beku
di penjuru kaku menahan jerat
dan aku bukan pemburu resah
yang mahu merobek kulitmu
yang haram itu

Engkau lelah? seperti kekasih
yang terkehel dirampas cinta
dan dibawa lari seperti anjing
menggonggong tulang yang paling hina
atau aku tersalah lihat persis apa
kelibatmu yang semakin jelas
terhangguk-hangguk dan jijik

Ya, aku sedang mengusirmu
jauhlah, pergilah kepada bapak-bapak
yang kepalanya serigala barangkali
dan aku mahu bersenang-senang
atau buang saja topengmu, itu.

Takdir

Ombak bertemu pantai
merubah pasir
adalah takdir
ketentuan yang maha
tak terubah

Kita tak seharusnya lelah
melihat pertemuan
apalagi tercalit kemanisan
dan pergi, hilang dan takdir
bisa mendatangkan lagi
seperti ombak mencari pantai.

Isnin, 1 November 2010

Tanpa Tajuk II





Selamat datang November
Piala Malaysia masih hangat ditinggal
sejarah oleh oktober bersama matahari masih
seperti biasa dan tengkujuh mulai tiba
untuk membelai padi di sawah timur pasti
anak haruan riang di lopak air berlompatan
melihat langit, mengintai manusia.

Apa khabar pilihan raya agaknya
secara kecilan pun
sudah berapa garis manifesto ditulis
dan bila akan dapat dikecap oleh tangan
yang sudi memangkah ketidakpastian dan
tetap menghempas keringat menghantar
anak sekolah bersama rintik hujan dan
payung cap partai dan harapan
yang belum nampak kelibatnya
yang ada hanya umpan sementara.

di kedai kopi pasti masih riuh
orang-orang tua bersidang
tentang subsisi, fasal keadilan, tentang
calon, kaya, warak, hati baik, kopiah putih
dan sekadar itu mereka mengenyangkan perut
beralas secawan kopi sepiring pulut dan
kepul-kelut asap rokok (mungkin percuma).

Anak-anak muda sibuk mencari peluang
kalau ada pintu pekerjaan atau
harapan dalam tahun yang semakin akhir
dan tak perlu jadi gelandangan lagi.

Pilihan raya dan harapan, persis
adik-beradik ketidakpastian
titik!

Stadium Bukit Jalil-Galas-Bangi