Tengah dia termenung itu, dia teringat akan sesuatu yang pernah dilakukannya. Baginya suatu yang luar biasa hebat dan harus dikenang jasanya itu. Di waktu itu banyak agensi-agensi sedang memungut derma untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa tsunami Aceh. Baginya hal itu sangat membebankan rakyat di Kota itu. Lalu dia mengambil inisiatif dengan menyalurkan derma kepada rakyat dan menyuruh rakyat menyumbang pula kepada mangsa-mangsa tsunami dengan wang sumbangan yang diberi olehnya. Sungguh besar dirasakannya jasa itu. Dia sangat berpuas hati walaupun sumbangannya entah ke mana melayang. Dia gembira dengan apa yang dilakukan dan selalu dia ketawa kerana terlalu gembira. Akhirnya berlalu musim menyumbang kepada mangsa-mangsa tsunami tersebut seperti hilangnya gema ketawanya. Tetapi ada lagi musim tengkujuh, hujan makin hari makin lebat membataskan aktiviti kemasyarakatan yang bebas dilakukannya. Tidak banyak isu untuk diceramahkan pada musim begitu dan semestinya tiada siapa yang akan mendengar ceramahnya kerana kebanyakkan orang duduk di rumah sahaja, fikirnya. Masa terus berlalu. Dia berasa kian bosan menjadi tokoh kemasyarakatan di Kota itu. Lantas mengambil keputusan untuk mengembara dan mencari tempat baharu untuk menabur bakti.
Akhirnya, dengan kesungguhan dan kesabarannya dia sampai di satu destinasi yang sangat disukai senario di tempat itu. Hal ini kerana ditempat itu akan berlangsung pilihan raya. Maka fikirnya inilah peluang terbaik untuk berbakti kepada masyarakat dengan memberi tip-tip untuk memilih calon yang terbaik untuk mereka. Dia semakin teruja apabila melihat bendera parti yang pelbagai warna menghiasi kiri-kanan jalan raya. Setahunya masa kempen telah pun bermula. Dia mengambil keputusan untuk menolong parti kerajaan kerana baginya kerajaan telah banyak berbakti dengan memberi pelbagai kebebasan kepadanya sekaligus untuk berbakti semula kepada masyarakat. Inilah masanya untuk dia membalas jasa pihak kerajaan itu. Tanpa berlengah lagi dia terus menuju ke sebuah pasar yang selalu menjadi tumpuan masyarakat di kawasan itu. Sesampainya di kawasan pasar itu, dia terus menepuk tangan dengan yakin dan memulakan ceramah kempennya untuk pihak kerajaan. Dia dengan bernas hujah mengatakan kerajaan banyak menolong rakyat, membangunkan negara, membangunkan industri dan sektor-sektor ekonomi negara dan memartabatkan Bahasa, Budaya, Kesenian dan sejarah negara dan sangat mementingkan soal Agama rasmi negara iaitu Islam. Dalam kesungguhan ceramahnya dia berasa sangat di ambil perhatian oleh orang-orang di situ. Lalu dia meneruskan hujah-hujahnya. Tiba-tiba dia terdengar ada suara sumbang yang menbantah hujahnya. Berani sungguh orang ini fikirnya. Lalu dia dengan suka hati mengajak orang itu berbahas dengannya dan di sambut baik oleh orang yang membantahnya itu. Maka bermulalah perbahasan diantara mereka sambil dilatar belakangkan dengan gelak ketawa orang sekeliling yang menjadi pendengar. Dia tidak ingat ada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh orang yang menentangnya pada masa itu yang membuatkan dia berasa sungguh marah dan dengan kebebasan yang ada dia bertindak kasar terhadap orang itu, lalu terjadilah pergaduhan diantara dia dan orang itu. Orang itu bertindak dengan lebih kasar dirasakannya dengan menghentam batu di kepalanya lalu dia rebah dan merasakan gelap dunianya. Dia masih ingat dalam keadaan separuh sedar ketika itu didengarnya bunyi siren ambulan dan siren polis,itu pun sekejap kerana dia pengsan terus selepas itu.
Kini, setelah hampir enam bulan dirawat dia berasa sangat bangga dan bertuah kerana kerajaan menyediakan hospital khas untuk merawatnya. Di situ semuanya terurus. Pakainya ada yang bersihkan, makannya ada yang masakkan, dan ubatnya ada yang suapkan. Sebelum berada di situ kehidupannya tidak terurus kerana sibuk dengan tugas-tugas baktinya. tetapi dia sangat sedih dan kecewa kerana tidak dapat berbakti dengan baik untuk kerajaan untuk pilihan raya itu. Tapi dia nekad dengan sebulat hati, setelah pulih dan dibenarkan keluar dari pusat rawatan itu, dia akan ke sana lagi untuk menyambung baktinya dan membalas dendam diatas perbuatan orang yang menentangnya dulu dan ingin menghumban orang itu ke penjara dengan bukti yang paling nyata iaitu kejujuran. Ya, dia masih ingat buktinya dulu iaitu 'kejujuran adalah bukti yang paling nyata' ,fikirnya dengan penuh yakin dan tidak sabar lagi untuk terus berbakti sambil melihat diri memakai sut hijau yang hebat dirasakanya.
1 ulasan:
ada idea, tapi harus dipertajamkan lagi tujuan sebenar ia ditulis dan isu sbenar yang ingin dibawa. Sedikit longgar tapi lenggok bahasa sangat gemalai.indah.
Catat Ulasan