Ahad, 29 Ogos 2010

Rindu



dan kesakitan ini terus
memijak-mijak
firasat yang tak bisa tembus
melewati langit jingga
hati yang kelam

getaran tubuh rakus
menggigilkan nostalgia
remuk menjiwai watak kosong
hilang ditelan arakan awan
yang berahi meratah lesu diri
ghairah melepaskan lelah
pada kasur yang mendetikkan
rasa aman-bingung

bayang-bayang sebelum ini
pecah sendiri diamuk
bisa-bisa dari lidah licin
tak bersisik-lancar

aduh, berikan nafas wangi itu
dan biar pedih ditawarkan
senyum berulang-ulang tembus
ke liang roma dan menjadi penawar
tak tercemar lagi.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Sajak klise dari mayat kecil





Terima kasih kerana mengkuduskan aku
bersih seperti malaikat
walau tidak sempat
mengenal pahala;
sekurangnya aku tak berdosa
biar tidak semulia nabi pun.


tenanglah kau dengan puas
wahai ibu-ibu gatal
cantik menafsukan
bapa-bapa miang dan
kalian sama kebinatangan atau?


oh, menyorokkan aib
lalu
bertukar watak supaya manusia
kenal
binatang keterlanjuran.

ah, izinkan aku riang di syurga
tanpa berperang dengan dunia.

Ahad, 22 Ogos 2010

Seorang lelaki dan mimpi kekasih

Seorang lelaki terduduk di stesen
menanti justeru melihat
wajah berduyung-duyung semakin kecil
pulang dari bekerja, bercinta dan
membuang waktu-waktu tersisa

dan malam terus memanjat langit
hitam tanpa bintang dan bulan
satu pun
hanya angin ada memukul butir-butir
debu dan kumis terbiarnya

ia terus duduk di kaki lima
masih ada pengemis buta mengais-ngais
tongkat pada nasib
juga ada seorang perempuan berambut ikal
menghisap aiskrim memanjang makin kurus mencair
barangkali menanti waktu untuk iseng
dan pergi bersama kekasih tanpa pulang lagi

seorang lelaki tertidur di stesen
kemudian buta dengan mimpi tanpa
tongkat untuk mengais dan menghisap
aiskrim milik perempuan yang pergi
bersama kekasih tanpa pulang lagi.




Sungai Buluh/06082010

Khamis, 29 Julai 2010

Bahasa manusia

kita fahami bahasa embun
yang akrab mendakapi rumput
malam hingga subuh

kita fahami bahasa angin
yang tak lelah membuai
hingga kita satukannya
menjadi nafas bebas hembus

kita tahu kerlip bintang
dan cerah bulan dijerik mentari
pada malam yang tak pernah siang

jeda

dan tidak mudah
untuk ertikan
gerak mata
langkah kaki
senyum bibir
melodi tawa
perlahan bisik
sopan tutur
adalah bahasa rahsia
titik!

sama hitamnya rambut
putih hati nyata beda
manusia.

Selasa, 20 Julai 2010

subuh itu, bulan masih merah.

Aku akrabi dini hari
dengan mimpi yang resah
dan rintik hujan membuka dingin
subuh itu, bulan masih merah
seperti malam sedang hangat

aku rapati mimpi tadi
dengan tafsir sendiri
jernih embun silau dipegang rerumputan
cahaya langit; juga watak bermula hari
terlakon antara sedar dan lara

aku kucupi pagi
dan bulan makin putih ingin hilang
dicerah mentari mendaki langit
dari timur
seperti langkah-langkah sabar
seluruh duniawi.

Jumaat, 25 Jun 2010

Serangkap puisi, di sisi kekasih

Di sisimu
sesekali pun
adalah nikmat
tanpa makna tarikh luput.

Khamis, 20 Mei 2010

Kita, cuma cipta dosa dalam hangat Piala Dunia


Sorakan bakal bergema

dalam musim berlainan lagi

dan perlepasan dengan kerelaan

menjadi halal dari hukum.kali ini

mungkin kerana kita berkabilah keturunan

bersama gagasan keadilan tergenggam

lalu sorakan makin hangat

cukai mewah.terhitung

terus menjadi darah daging pembangunan-nanti

ditelan rakyat

dengan redha kontrak perjanjian


toko-toko judi senyum

melihat pernyertaan

sebuah negara aman-Islam


dan ayuh Malaya.kembali

menjamah jahiliyah sejarah.




N.Faizal/Kota Bharu/190510.


Isnin, 3 Mei 2010

Kau lelah, dan kita saksi keseksaan yang buta.

Lepaskan lelahmu
dengan nafas terbaki
dan
luluh hatiku
melihat angin kau hembus pergi
ke ruangan

terus kita tahu bukan?
koma adalah perhentian
sementara
dan belum titik
untuk jeda sepanjangnya

moga kita tak buta
melihat keseksaan maha sakit
dan
lepaskan lelahmu.


N.Faizal/03052010/Kota Bharu.

Jumaat, 9 April 2010

Sejijik pijakan.






Sekalian jejak yang kulangkah
menjadi kesan
adalah suci berbanding diri

oh Tuhan.





N.Faizal/08042010/UKM

Khamis, 1 April 2010

Cinta Suria IV




Aku ingin kearah naik dan turunmu
biarpun kutahu pancaroba ada menghalangi
dan kau tak selalunya terang
kala gerhana
tapi aku izinkan, matahariku
untuk malap seketika
kau penat menjerik cahaya

antara kita ada persefahaman
kerana aku yakin aturan Tuhan
di timurmu aku jelas segala
di baratmu aku gelap seketika
tapi bulan masih ada-suria
dan aku mamah kerlipan bintang, indah

perkasihan kita
sampai bila pun
adalah cinta langit dan bumi
adalah cinta siang dan malam
adalah cinta bintang dan rembulan
adalah cinta haiwan dan tumbuhan

Suria, selagi izin-Nya
kau pasti terang
menyuluh aku dan alam
cahayamu adalah kaki mengutus rindu.



N.Faizal/UKM

Rabu, 31 Mac 2010

Sajak diluar Bangku.




Sewaktu kau duduk dibangku pura-pura
senyum manis si dara galak.
girang
bertepuk tangan.
menyaksi pidato ringan
dan ada jamuan dihidang. Nanti.

Dibangku pura-pura.
kau lirik
segaris pandangan.
beradab
bermain mata emas dan saham
berkilauan
bercanda mencium kasino.
Mewah negeri.

kerut dahi gelisah hati tiada kau peduli.
dibangku itu
batuk raksasa melimpahi ruang
bersama kopi pahit panas
dan irama riuh.
entah melodi apa.


sesekali kau bangun menghentam kepala suara
di kerusi sana
ada sinis sokong. Bantah. Senyap.
bisik-bisik tajam hinggap di muka koran
esok pagi.Isu gejala marhaen saham berlembaran
juga sukan kejayaan. Ia senyum.


dibangku pura-pura
alasan bersih
belanjaan benar debit dan kredit
turun naik karan dan minyak. Biasa.
tiada masa yang suntuk
duduk- tenang
menunggu penggal
Untuk tukar kerusi
dan pidato ringan
ada jamuan dihidang. Nanti.



N.Faizal Ghazali/UKM

Ahad, 21 Mac 2010

Bulan yang rindukan pungguk.



Ia menunggu saban malam
merenung dibawah alam cuma
cahaya menjadi kaki
menjejak alam bumi
rindunya sampai di ranting
menyinarkan mata Si pungguk
yang setia
menikmati silau purnama
atau mengintai mangsa, mungkin

dan bulan menanti
kerana pungguk bersayap
terbang dan hinggap ke cakerawala Tuhan
nyata tidak mungkin
bulan mengharap tanpa kudrat
ah, rindu itu sakit yang indah
nikmat.


N.faizal/22032010/UKM

Ahad, 14 Mac 2010

Nostalgia yang masih belum akur.

Tawarikh itu gah
belum terpinggir
dari kotak fikir

kita bergelapan, singgah
dimimbar perkasihan
kala hujan rintik
ke daun masa dan ruang
dan akur

sekian lama
dan hujan silih berganti
aku melontar khazanah rindu
pada lonjatan nostalgia
dari umbi bahagia

sampai bila
wayang lama berpencak
pada dinding waras
dan landasan sirah

aku mahu hunjam
biar akur berkubur.


N.Faizal/14032010/UKM

Selasa, 9 Mac 2010

Cinta Suria III



Asmaraloka indah

kerana cintamu pada siang

dan bulan malam langsung

juga bintang

tanpa henti perhiasan-Nya

aku syukur dan setia

pada janji suci cahaya

agar tidak gelap dengan kesalan

Suria

cintamu bersama kejauhan

menghijaukan sempadan

dan hujan berikan aku rindumu

aku basah

subur mengenal alam

dengan murni rasa

nah, aku bisikkan!

"aku hidup kerana Tuhan

Agung mencipta, matahariku".


N.Faizal/08021010/UKM


Khamis, 4 Mac 2010

Cintamu yang tiba-tiba,


Cintamu
mengejutkan
pada setiaku yang ada

maaf
kutolak tiba-tiba.




N.faizal/UKM/2010

Selasa, 23 Februari 2010

Bintang di puncak bukit.


Aku saksi
gantungan bintang
tak bertali di puncak bukit
ada awan bersapaan

malam itu
aku terhantuk
dicelah-celah bintang bersinar
kaget
rasa halus hinggap
memberi pilu
menghantar sendu

Tuhan
imankah itu?
aku rindu
mahu seperti bintang
biar pun satu
bersinar indahkan malam

Tuhan
jika itu iman
bawalah aku kedalamnya
moga cerah memagari hati.



N.Faizal/23022010/UKM

Rabu, 17 Februari 2010

Memburu puncak


Pastinya dalam sedar
serta akur yang tekad melantun
impian itu dirodok
didaki rapat ke juring hati
bukan mimpi yang rakus
tapi jalan yang harus direntas

asa tak dibenarkan putus
dan tidak sekali kaku berdiri condong
maju melintas garis akhir
di situ puncak menanti
untuk dirangkul
untuk dijilat lidah keras
dan merasa senikmat manis
setelah jejak disejarah langkah
usai dalam buaian realiti

memburu puncak
ada taruhan tajam
setimpal mahal upahan
sepuas kepuasan.


N.Faizal/17022010/Kota Bharu.

Khamis, 11 Februari 2010

Kehijauan.



Terselah
dari mataku
luruh
jiwa disalju
rasa
ragaku bugar

Tuhan, aku kagum.

N.Faizal/10022010/FSSK-UKM

Isnin, 8 Februari 2010

Bila suaraku dalam gema bicaramu.

Tak kira dipentas mahupun dikamar
bila desah suaraku bangkit
seperti kau jua-bergegas
tapi aku tidak bergesa
malah elus menutur lidah berahi
kita tidak serupa

dan bila suaraku teriak
dalam gema bicaramu
perdu maksud kau baca
sama kutafsir raut wajahmu
ada getar dada, bergelora
kita bukan sama

suaraku masih lunak
dan kau agungkan garau persis basah
apa aku peduli
jika syukur kuhadam sedalam nurani
pasti kujerit, laung ke langit
biar sekuala dengar dari bumbung ke bumbung
teriakku bukan seorang baik
bersalut debu tak bisa ditapis
kita beda bukan?

dan bila suaraku dalam gema bicaramu
bersiaplah, dengan perisai lebar
atau nanti kuliwat katamu dengan hina
atau malu tak tertutup
seperti maruah dara yang hancur
kalau nanti kau sedar
gema bicaramu kutindih
menjadi debu kotor mungkin ranap
ditimpa hujan hujah bertitik bernas
antara kita ada ketewasan
tetap lain melenggok retorik masa
katamu perjuangan berpasak gagasan
kataku gagasan bersalut perjuangan lagi utuh

bila suaraku desah bangkit
moga kau sedar intonasinya.



N.Faizal / 09012010/DBPKL-UKM

Isnin, 1 Februari 2010

Tentang Februari




Februari ini
pasti kita teringat
mawar merah berlagu
dalam kelopak irama
dengan gemersik suara merdu

tak lari dari not-not rindu
pada gadis idaman
dikirim gugusan puisi
dari hati ditinta
indah

februari
hadir dinanti
muda-mudi nan asyik
memandu kronologi berahi
bagai majnun persis laila

apa pun
nyanyikanlah februari
untuk saban lain bulan
diwarna lukisan
ada cinta jua.


N.Faizal/01022010/UKM