Selasa, 23 Februari 2010

Bintang di puncak bukit.


Aku saksi
gantungan bintang
tak bertali di puncak bukit
ada awan bersapaan

malam itu
aku terhantuk
dicelah-celah bintang bersinar
kaget
rasa halus hinggap
memberi pilu
menghantar sendu

Tuhan
imankah itu?
aku rindu
mahu seperti bintang
biar pun satu
bersinar indahkan malam

Tuhan
jika itu iman
bawalah aku kedalamnya
moga cerah memagari hati.



N.Faizal/23022010/UKM

Rabu, 17 Februari 2010

Memburu puncak


Pastinya dalam sedar
serta akur yang tekad melantun
impian itu dirodok
didaki rapat ke juring hati
bukan mimpi yang rakus
tapi jalan yang harus direntas

asa tak dibenarkan putus
dan tidak sekali kaku berdiri condong
maju melintas garis akhir
di situ puncak menanti
untuk dirangkul
untuk dijilat lidah keras
dan merasa senikmat manis
setelah jejak disejarah langkah
usai dalam buaian realiti

memburu puncak
ada taruhan tajam
setimpal mahal upahan
sepuas kepuasan.


N.Faizal/17022010/Kota Bharu.

Khamis, 11 Februari 2010

Kehijauan.



Terselah
dari mataku
luruh
jiwa disalju
rasa
ragaku bugar

Tuhan, aku kagum.

N.Faizal/10022010/FSSK-UKM

Isnin, 8 Februari 2010

Bila suaraku dalam gema bicaramu.

Tak kira dipentas mahupun dikamar
bila desah suaraku bangkit
seperti kau jua-bergegas
tapi aku tidak bergesa
malah elus menutur lidah berahi
kita tidak serupa

dan bila suaraku teriak
dalam gema bicaramu
perdu maksud kau baca
sama kutafsir raut wajahmu
ada getar dada, bergelora
kita bukan sama

suaraku masih lunak
dan kau agungkan garau persis basah
apa aku peduli
jika syukur kuhadam sedalam nurani
pasti kujerit, laung ke langit
biar sekuala dengar dari bumbung ke bumbung
teriakku bukan seorang baik
bersalut debu tak bisa ditapis
kita beda bukan?

dan bila suaraku dalam gema bicaramu
bersiaplah, dengan perisai lebar
atau nanti kuliwat katamu dengan hina
atau malu tak tertutup
seperti maruah dara yang hancur
kalau nanti kau sedar
gema bicaramu kutindih
menjadi debu kotor mungkin ranap
ditimpa hujan hujah bertitik bernas
antara kita ada ketewasan
tetap lain melenggok retorik masa
katamu perjuangan berpasak gagasan
kataku gagasan bersalut perjuangan lagi utuh

bila suaraku desah bangkit
moga kau sedar intonasinya.



N.Faizal / 09012010/DBPKL-UKM

Isnin, 1 Februari 2010

Tentang Februari




Februari ini
pasti kita teringat
mawar merah berlagu
dalam kelopak irama
dengan gemersik suara merdu

tak lari dari not-not rindu
pada gadis idaman
dikirim gugusan puisi
dari hati ditinta
indah

februari
hadir dinanti
muda-mudi nan asyik
memandu kronologi berahi
bagai majnun persis laila

apa pun
nyanyikanlah februari
untuk saban lain bulan
diwarna lukisan
ada cinta jua.


N.Faizal/01022010/UKM


Ahad, 31 Januari 2010

Penghuni cinta.

Sampai bila pun
selagi ada elus angin
cinta tetap disebut
biar pun klise
tapi indah, bagai mawar merah
dititis hujan manja

saban pagi sore mahupun malam
penghuninya ada, tegar
untuk Tuhan
pada ibu jua ayah
pacar-isteri atau teman-teman

dan sebesar cinta
lantas lagi suci untuk agama
bagai dunia menjadi milik
juga memeluk akhirat
dihias redha-Nya
semoga!




N.Faizal/31012010/UKM

Sabtu, 30 Januari 2010

Kita, kepada bulan dan siang.




Semalam dan mungkin esok
kita ghairah berdiri
bulan ada dengan serinya
diusik awan diindah bintang

kita ralit mencium angin
dan lepas tanpa ragu
entah ke mana ia terbang
atau hinggap

apa akan selalu
kita senafas dan lepas
malam melihat tarian purnama
atau kecuali siang

apa pun kita harus rela
untuk nikmati sinar garang
dan menjadi makna
kepada malam dan mentari
juga manusiawi.


N.Faizal/30012020/UKM

Selasa, 19 Januari 2010

Cinta Suria (ii)


Siang masih perlukanmu untuk malam beradu dengan wajah bulan
matahariku

pastinya cinta untuk alam kulangsungkan tanpa sangka
bersama luas cahaya, sebenarnya kau pemilik
atau raja angkasa seisi cakerawala-terang

gerak tari bumi kulihat sehayat dengan nadimu
basah dengan rindu-rindu semalam, dekat dalam kenangan
kususun menjadi tugu keramat

kau suria..
adalah cinta perantara lapisan langit ke darat dan laut
lalu menyentuh jiwa insanku menyedut sinarmu nan indah pada kejora
dan biji-biji puspawangi pun berkelopak
seperti hatiku ada cinta

wajahmu kugenggami ke dasar hati tanpa waktu terkira
semenjak babak mata kecil kutoleh ke sinar kasihmu
aku tertikam bilah-bilah senyummu
dalam siang sore, malam ranum pun
takkan basi nafsuku

kau kekasih, suria
segenap ruang dan rongga hidup
aku tersuluh sinarmu

sampai mati kumahu
ya, sampai matiku!



N.Faizal Ghazali/19012010/UKM

Khamis, 7 Januari 2010

Tuan, kami.

Ada suara melintas di depan
waktu ucapanmu teraburan
mengisi telaga telinga kami

suara pujian meninggi
setinggi harapmu
ada saja umpan dibalik misi
seolah kami mabuk janji

tuan,
ada kami untuk makan
pada hari-hari esok juga lusa
takkan kenyang dengan ucapan
kalau kerja terbengkalai

bagai model surat khabar harian
dengan bayaran kepercayaan
kami disuruh bertepuk tangan
memenuhi ruang dengan gema tak hairan
saban ucapan dan alasan

izinkan kami rehat sebentar
sementara lelah pergi
dan memikul katamu, lagi.







N.Faizal/07012010/UKM

Sajak jemu untuk engkau.

Setelah kau jauh berlabuh
ke pengkalan angkuh
aku tak lumpuh dari bosan
malah tenang menyusun kasut usang

apa perlu sedu-sedan
bernada suara boneka
dengan wajah kesian gedik
atau suara mirip pesalah trafik

aku jemu, engkau.



N.Faizal/Kajang-UKM/07012010

Isnin, 4 Januari 2010

Berbicara kepada kesepian.

Andai malam hitam
masih ada bintang menari
jua bulan menemani-terang

tapi sunyi diri bagai terhukum
oleh alam tanpa angin
panas menghujam pojok rasa
ditikam bayang resah-kenangan

dan sepi memburu
melukis pedih rindu segala kisah
meronta pinta dimanja dibelai
kemas berpaut dihujung naluri
tanpa lena digaris malam-gusar

aduh, bungkusan kisah lara melintasi
pada titik-titik fikir
menyanggah tenang alun dada
ralit berbicara malayan sepi, ah ngilu!



N.Faizal Ghazali/05012010/UKM

Jumaat, 1 Januari 2010

Jendela kedewasaan.

Jendela kedewasaan>> N.Faizal Ghazali







Hari ini baru
bulan dan masihi


membuka riak rasa beda
edaran usia terus
tanpa henti lagi


aku kecap nikmat
yang luruh dicelah musim
lewat remaja
dan kaki resah melangkah
mencari tuju


dewasa ini muda
mahu kupeluk
mengerat matang
pada petak fikir
biar celik segala indera
memetik ilham


terima kasih Tuhan.




01012010/UKM/ 22 tahun.

Selasa, 29 Disember 2009

Mencium rakaat

Rayuan nafsu bertindihan
dengan sujud khusyuk
tika ciuman rakaat
ralit

duduk bangun
mengibar takbir
takut
tunduk
adalah taqwa

pasti terhitung
dalam empat
tiga dan dua
atau berkali-kali dua
akur.
N.Faizal/UKM/29122009

Ahad, 27 Disember 2009

Pertemuan.


(Dedikasi kepada rakan-rakan Minggu Penulis Remaja 2009)

Tika senyum bersapaan

jatuh ke dinding peristiwa

arah sama dituju

seiring

kita tekun berteleku

menadah deria

mengadap guru

dan menyelongkar

rahsia ilmu

tanpa sedar

garis waktu pergi

merakam kenangan

memikul pengalaman

manis.

Khamis, 24 Disember 2009

Kita sama-sama lelah, cinta.


kulari

kau kejar

penatlah kita

tapi senyum masih

menyeri cinta.


N.Faizal/24122009/Port Dickson.

Rabu, 23 Disember 2009

Gadis dibirai kolam.

Mata kita bertemu di bayang air
diterjah riang kanak-kanak
berkecai-hilang

kudongak ke beranda mencari watakmu
cuma langsir berkibar lembut
kutenung ke dasar kolam yang kutumpahkan rindu

nyata masih ada-kenangan.







N.Faizal/21122009/Port Dickson.


Selasa, 15 Disember 2009

Larian dalam pelarian.






Hentakkan kaki menunjang muka jalan
deria mata membolos liku-likuan


bermain lelah dan sesat
tiada rasa kisah mencelah
dilorong-lorong destinasi tersinggah


dan larian tak berpenghujung
mencari ruang terakhir
bermain nafas
dalam ke dasar fikir


segala tanya muncul
mengintai arah kemungkinan
dalam larian tak pasti
gelap dalam setinggangan
sebuah pelarian.



N.Faizal/12122009/Kota Bharu.

Ahad, 6 Disember 2009

Setelah cinta bersuara


Dengan benih kata mula

dari iris mata

ironis menghiris kalbu


pijakan telapak kaki lembut rasa

terawan diulit mega langit

menelan duka


cinta bersuara

sentuhan peluit rindu

yang berombak merdu dimimbar hati


aku dengar di situ

dicelah jingga membelah sore

bisik-bisik manis sewarni pelangi


mengepung pecahan resah

ada indah membobrok

dipojok nubari

ya, setelah cinta bersuara.



N.Faizal/06122009/Kota Bharu.

Jumaat, 4 Disember 2009

Kerana aku lelaki.



Kerana aku lelaki

yang lahir dari sperma jantan

diam di lubuk rahim suci

dan lahir menyanyi tangis

dengan urat-urat kian timbul

menerjah duniawi

aku tak gental

melihat kembang bunga

kudratku tegar menyiram

makin lama menjadi lelaki

tak juga tergugah maruah

dengan cinta pun bertaruh

tenang

kerana jantanku tak terbeli

oleh wajah-wajah puspa

kecuali dengan terang hati

usah kau tanya

kenapa ranap kugondol

sebuah intim terpati

kerana aku lelaki.




N.Faizal/04122009/Kota Bharu

Rabu, 2 Disember 2009

Selagi ada masihi.


Masihi kian tua

ranum dipunggah masa
saban disember pergi

putaran kalendar setia
menyusur deretan bulan
melintasi garis-garis hari

januari bakal tampil
mengucap selamat datang lagi
membuka panas azam

yang tertunggak
mungkinkah terbayar
sedang masa tak terhambat
berganti menari cerita lain

kejarlah, selagi ada masihi
segenggam niat
kalau secubuit pun sempat
adalah jua nikmat.



N.Faizal/03122009/Kota Bharu.