Selasa, 25 Ogos 2009

Bicara kepada seorang kekasih



Telah aku tabalkan jasadmu seorang kekasih
untuk kubantal kala lena diselimut mimpi
gemersik suara kau lagu kuiramakan dengan cinta
indah terakam di taman-taman perkasihan dusta
musnah segala

untuk kau seorang kekasih
telah kuhadam sebukit janji yang bugar palsunya
kau hampar pada tali bicara kudus derhaka
diam tergantung di awan putih mulus
hancur belaka

dan aku tetap berpuisi tentang kita semalam
menjejak rindu sepenuh dada teruang rela
saat purnama senyum melihat pungguk kesabaran
kau kekasih bisu melempar mungkir yang luak
lenyap Cuma

lalu aku berbicara lagi untuk seorang kekasih
tidak menadah muka untuk kau renung
atau mengirim tangan untuk dipimpin
aku masih tegar menghadap berabad hidup
cuma aku

biarlah aku berbicara lagi, lagi dan lagi
biar sesak, sebak, tercungap nafas kuhela
kerana kau Cuma setugu tembok, diam
sedang masih kuhirup percikan gerimis katamu
lemaslah aku.



N.Faizal/24082009/UKM-UTEM

Tiada ulasan: