Ahad, 31 Januari 2010

Penghuni cinta.

Sampai bila pun
selagi ada elus angin
cinta tetap disebut
biar pun klise
tapi indah, bagai mawar merah
dititis hujan manja

saban pagi sore mahupun malam
penghuninya ada, tegar
untuk Tuhan
pada ibu jua ayah
pacar-isteri atau teman-teman

dan sebesar cinta
lantas lagi suci untuk agama
bagai dunia menjadi milik
juga memeluk akhirat
dihias redha-Nya
semoga!




N.Faizal/31012010/UKM

Sabtu, 30 Januari 2010

Kita, kepada bulan dan siang.




Semalam dan mungkin esok
kita ghairah berdiri
bulan ada dengan serinya
diusik awan diindah bintang

kita ralit mencium angin
dan lepas tanpa ragu
entah ke mana ia terbang
atau hinggap

apa akan selalu
kita senafas dan lepas
malam melihat tarian purnama
atau kecuali siang

apa pun kita harus rela
untuk nikmati sinar garang
dan menjadi makna
kepada malam dan mentari
juga manusiawi.


N.Faizal/30012020/UKM

Selasa, 19 Januari 2010

Cinta Suria (ii)


Siang masih perlukanmu untuk malam beradu dengan wajah bulan
matahariku

pastinya cinta untuk alam kulangsungkan tanpa sangka
bersama luas cahaya, sebenarnya kau pemilik
atau raja angkasa seisi cakerawala-terang

gerak tari bumi kulihat sehayat dengan nadimu
basah dengan rindu-rindu semalam, dekat dalam kenangan
kususun menjadi tugu keramat

kau suria..
adalah cinta perantara lapisan langit ke darat dan laut
lalu menyentuh jiwa insanku menyedut sinarmu nan indah pada kejora
dan biji-biji puspawangi pun berkelopak
seperti hatiku ada cinta

wajahmu kugenggami ke dasar hati tanpa waktu terkira
semenjak babak mata kecil kutoleh ke sinar kasihmu
aku tertikam bilah-bilah senyummu
dalam siang sore, malam ranum pun
takkan basi nafsuku

kau kekasih, suria
segenap ruang dan rongga hidup
aku tersuluh sinarmu

sampai mati kumahu
ya, sampai matiku!



N.Faizal Ghazali/19012010/UKM

Khamis, 7 Januari 2010

Tuan, kami.

Ada suara melintas di depan
waktu ucapanmu teraburan
mengisi telaga telinga kami

suara pujian meninggi
setinggi harapmu
ada saja umpan dibalik misi
seolah kami mabuk janji

tuan,
ada kami untuk makan
pada hari-hari esok juga lusa
takkan kenyang dengan ucapan
kalau kerja terbengkalai

bagai model surat khabar harian
dengan bayaran kepercayaan
kami disuruh bertepuk tangan
memenuhi ruang dengan gema tak hairan
saban ucapan dan alasan

izinkan kami rehat sebentar
sementara lelah pergi
dan memikul katamu, lagi.







N.Faizal/07012010/UKM

Sajak jemu untuk engkau.

Setelah kau jauh berlabuh
ke pengkalan angkuh
aku tak lumpuh dari bosan
malah tenang menyusun kasut usang

apa perlu sedu-sedan
bernada suara boneka
dengan wajah kesian gedik
atau suara mirip pesalah trafik

aku jemu, engkau.



N.Faizal/Kajang-UKM/07012010

Isnin, 4 Januari 2010

Berbicara kepada kesepian.

Andai malam hitam
masih ada bintang menari
jua bulan menemani-terang

tapi sunyi diri bagai terhukum
oleh alam tanpa angin
panas menghujam pojok rasa
ditikam bayang resah-kenangan

dan sepi memburu
melukis pedih rindu segala kisah
meronta pinta dimanja dibelai
kemas berpaut dihujung naluri
tanpa lena digaris malam-gusar

aduh, bungkusan kisah lara melintasi
pada titik-titik fikir
menyanggah tenang alun dada
ralit berbicara malayan sepi, ah ngilu!



N.Faizal Ghazali/05012010/UKM

Jumaat, 1 Januari 2010

Jendela kedewasaan.

Jendela kedewasaan>> N.Faizal Ghazali







Hari ini baru
bulan dan masihi


membuka riak rasa beda
edaran usia terus
tanpa henti lagi


aku kecap nikmat
yang luruh dicelah musim
lewat remaja
dan kaki resah melangkah
mencari tuju


dewasa ini muda
mahu kupeluk
mengerat matang
pada petak fikir
biar celik segala indera
memetik ilham


terima kasih Tuhan.




01012010/UKM/ 22 tahun.

Selasa, 29 Disember 2009

Mencium rakaat

Rayuan nafsu bertindihan
dengan sujud khusyuk
tika ciuman rakaat
ralit

duduk bangun
mengibar takbir
takut
tunduk
adalah taqwa

pasti terhitung
dalam empat
tiga dan dua
atau berkali-kali dua
akur.
N.Faizal/UKM/29122009

Ahad, 27 Disember 2009

Pertemuan.


(Dedikasi kepada rakan-rakan Minggu Penulis Remaja 2009)

Tika senyum bersapaan

jatuh ke dinding peristiwa

arah sama dituju

seiring

kita tekun berteleku

menadah deria

mengadap guru

dan menyelongkar

rahsia ilmu

tanpa sedar

garis waktu pergi

merakam kenangan

memikul pengalaman

manis.

Khamis, 24 Disember 2009

Kita sama-sama lelah, cinta.


kulari

kau kejar

penatlah kita

tapi senyum masih

menyeri cinta.


N.Faizal/24122009/Port Dickson.

Rabu, 23 Disember 2009

Gadis dibirai kolam.

Mata kita bertemu di bayang air
diterjah riang kanak-kanak
berkecai-hilang

kudongak ke beranda mencari watakmu
cuma langsir berkibar lembut
kutenung ke dasar kolam yang kutumpahkan rindu

nyata masih ada-kenangan.







N.Faizal/21122009/Port Dickson.


Selasa, 15 Disember 2009

Larian dalam pelarian.






Hentakkan kaki menunjang muka jalan
deria mata membolos liku-likuan


bermain lelah dan sesat
tiada rasa kisah mencelah
dilorong-lorong destinasi tersinggah


dan larian tak berpenghujung
mencari ruang terakhir
bermain nafas
dalam ke dasar fikir


segala tanya muncul
mengintai arah kemungkinan
dalam larian tak pasti
gelap dalam setinggangan
sebuah pelarian.



N.Faizal/12122009/Kota Bharu.

Ahad, 6 Disember 2009

Setelah cinta bersuara


Dengan benih kata mula

dari iris mata

ironis menghiris kalbu


pijakan telapak kaki lembut rasa

terawan diulit mega langit

menelan duka


cinta bersuara

sentuhan peluit rindu

yang berombak merdu dimimbar hati


aku dengar di situ

dicelah jingga membelah sore

bisik-bisik manis sewarni pelangi


mengepung pecahan resah

ada indah membobrok

dipojok nubari

ya, setelah cinta bersuara.



N.Faizal/06122009/Kota Bharu.

Jumaat, 4 Disember 2009

Kerana aku lelaki.



Kerana aku lelaki

yang lahir dari sperma jantan

diam di lubuk rahim suci

dan lahir menyanyi tangis

dengan urat-urat kian timbul

menerjah duniawi

aku tak gental

melihat kembang bunga

kudratku tegar menyiram

makin lama menjadi lelaki

tak juga tergugah maruah

dengan cinta pun bertaruh

tenang

kerana jantanku tak terbeli

oleh wajah-wajah puspa

kecuali dengan terang hati

usah kau tanya

kenapa ranap kugondol

sebuah intim terpati

kerana aku lelaki.




N.Faizal/04122009/Kota Bharu

Rabu, 2 Disember 2009

Selagi ada masihi.


Masihi kian tua

ranum dipunggah masa
saban disember pergi

putaran kalendar setia
menyusur deretan bulan
melintasi garis-garis hari

januari bakal tampil
mengucap selamat datang lagi
membuka panas azam

yang tertunggak
mungkinkah terbayar
sedang masa tak terhambat
berganti menari cerita lain

kejarlah, selagi ada masihi
segenggam niat
kalau secubuit pun sempat
adalah jua nikmat.



N.Faizal/03122009/Kota Bharu.

hitunglah dengan nafasmu

pejamkan matamu
pahatkan lirik syukur
terus, terus dan terus

pasti kau nampak kelibat nikmat
sebesar bumi, melimpah ke langit
hitunglah dengan nafasmu

biar nafsu kaku
diterobos akal merejam alpa
bukalah ruang batin
seiring nafas, melihat anugerah
dan basahkan Alhamdulillah.


N.Faizal/02122009/Kota Bharu

Sabtu, 28 November 2009

Jangan sentuh lagi-aku.

Jangan
dengan mata sekalipun
kerana pasti terasa
tika pandangan berbicara

cukup
biar sentuhan lalu hilang
ditepis gerak masa
dan mengukir gumpalan rindu

kesimpulannya
aku mahu di sini berdiri
tanpa tersentuh ghairahmu
dengan dada tipu terserlah
tak kurela sesaat
tergolek beralas kulitmu
biar selembut tilam lagi empuk
bisa mengudis lagi
sejarah.




N.Faizal/28112009/Kota Bharu-Machang.

Rabu, 25 November 2009

Cermin sirah sehayat.


Sangkutlah kejora dengan kerlip abadi

dan tegakkan tiang biar melangit

pasti cerlang, terang iman

apa ada serpihan buntu

dari perca yang terlerai basah

untuk dicantum menjadi cermin

memapar kisah terwatak terserak

lihat, pantulan kasar pada cermin

mewajah dibalik kabur memori

jika kucam terhias menjadi sirah

langkahlah lagi, selarian denyut nadi menghela

hias, kepingan kaca setia

untuk sejasad hidup merona harum

dengan babak-babak gagah cinta-Nya

agar Rentung segala isi ranah

diinjap segar doa lagi putih dan suci

kembalilah

melirik kata-kata tuhan

lurus berjambatan hidayah

tolehlah laras-laras restu-Nya

indah.manis.abadi.




N.Faizal/25112009/Kota Bharu.

Khamis, 19 November 2009

Dipinggir sakinahMu.

Tika diam membelah rasa
kosong menerpa seri wajah
gerak mata lesu menerjah

ah, bosan menghimpit
resah gelisah bagai kawan
mengalir dengan denyut nadi
berdegup

masih belum berakhir rupanya
sebuah ruang buat insan
untuk merenung ke tasik hakiki
membasuh hitam peristiwa

Tuhan, rasa ini kepuasan
kala aku rasa dekat
rapat
berdakapan
dipinggir sakinahMu.



N.Faizal/19112009/Kota Bharu.

Sabtu, 14 November 2009

Sekeping surat kepada cinta.



Cinta
aku cuma pemuda yang bisa kauterkam
ranumlah mendakap hatiku semahu-mahu
dengan lidah lancar bicara kudus kasih
biar bergugus-gugus jatuh ke riba
dikecap perdu-perdu jantung yang kian kencang


ya cinta
aku mahu hisap segenap ruang manismu
dan menelan sepah hingga keperhabisan
agar urat nadi tegang menahan panahan rindu
tak sesekali kulempar senyum tawar
menghiasi bibit-bibit merahmu


nah cinta
kuhulur seyakin mabuk hati menyembah
pada kaki-kaki harapan kau buka
aku tak jeda atau undur setapak pun
mengembaralah lapangan rindu tak terhitung
dan kayuhlah asmara panasmu


sekian cinta.

N.Faizal/141212009/Kota Bharu