Sabtu, 5 September 2009

Berbicara kepada seorang Hang Tuah





Engkaulah moyang keramat sebuana Melayu

tumbuh diperbatasan taat setia daulat

merekod lagenda purba sejarah

untuk sebuah bangsa yang tak akan lenyap


kuperasap bicara di tanah peraduanmu

wangi menetaskan hikayat terkisah

oleh masa silam kependekaran Taming Sari

gagah menghunus kesatriaan si derhaka


wahai moyang perkasa bertubuh sasa

kau dewa sealam tunggal riwayat dalang bercerita

bertuah tujuh petala langit, tujuh lipatan bumi

pangeran berani tugu kota warisan bangsa


kau rentas selat masa dengan derap gagah

menunjangi bibit perjuangan sahabat berlima

langkahan pencak bertingkah jurus akur

dan kau tunduk pada bicara fitnah, lurus!


hei Hang Tuah laksamana benteng seteru!

serulah sumpahmu ke telinga cucu-cicit dunia

biar tempang, bisu, capek si petualang durja

kerana ini bangsamu, kau benih dengan keringat!


kami susur semangatmu segenap helai kisah

sambil menjilat sejarah yang membuak darah

lalu menguyah sedalam sedar minda

mengilham keperwiraan pada dada bangsa

“Tak kan Melayu hilang di dunia”.






N.Faizal/05092009/UKM

2 ulasan:

faziz ar berkata...

salam faizal
Puisi hang tuah ini telah kau ukiri dengan bahasa yang indah dan cantik. Puitis sekali sesuai membawa jiwa bangsa melayu itu sendiri...

N Faizal Ghazali berkata...

Terima kasih Pak faziz di atas komentar. saya tidak bisa menoreh kata sebaik tuab kagi. salam kembali.