Rabu, 5 Ogos 2009

Mentari ogos untuk anak-anak mentah.

Mentari ogos hadir menyerlah sinar
untuk anak-anak mentah
membuka dada-dada semangat pendekar
kesinambungan pusaka pencak pejuang
gah meresap, membuka minda-minda leka
biar bukan lagi menghunus satria keris

anak sekolahan riang seakan ngerti
berlari dihalaman rumah merdeka
menyanyi lagu tanggal keramat,semangat
dengan lagak seorang perajurit
ah, merdeka!

anak-anak,
ogos ini wayang sejarah
ogos ini potret indah
ogos ini permaidani nostagia
ogos ini menyeka darah
ogos ini adalah maruah

dan bila mentari ogos berlabuh
biar terserak cahaya gemilang
terbias ke muka hari-hari depan
biar nafasnya terapungan selarian masa
mengawal kuala nusa dan bangsa


anak-anak,
jagalah wayang ogos ini
sematlah potretnya sekuat gunung
hamparlah nostalgianya ke corong peradaban
biar darah lampau enak beradu dikamar pusaka
kerana mahal sebuah maruah merdeka.



N.Faizal/05082009/UKM