Khamis, 29 Julai 2010

Bahasa manusia

kita fahami bahasa embun
yang akrab mendakapi rumput
malam hingga subuh

kita fahami bahasa angin
yang tak lelah membuai
hingga kita satukannya
menjadi nafas bebas hembus

kita tahu kerlip bintang
dan cerah bulan dijerik mentari
pada malam yang tak pernah siang

jeda

dan tidak mudah
untuk ertikan
gerak mata
langkah kaki
senyum bibir
melodi tawa
perlahan bisik
sopan tutur
adalah bahasa rahsia
titik!

sama hitamnya rambut
putih hati nyata beda
manusia.

Selasa, 20 Julai 2010

subuh itu, bulan masih merah.

Aku akrabi dini hari
dengan mimpi yang resah
dan rintik hujan membuka dingin
subuh itu, bulan masih merah
seperti malam sedang hangat

aku rapati mimpi tadi
dengan tafsir sendiri
jernih embun silau dipegang rerumputan
cahaya langit; juga watak bermula hari
terlakon antara sedar dan lara

aku kucupi pagi
dan bulan makin putih ingin hilang
dicerah mentari mendaki langit
dari timur
seperti langkah-langkah sabar
seluruh duniawi.